HUKUM MELAKUKAN KORBAN BUAT SI MATI

Di dalam permasalahan ini, terdapat beberapa pendapat, antaranya:

1) Dibolehkan untuk melakukan korban buat si mati dan sampai pahalanya juga buat si mati. Ini adalah pendapat jumhur ahli ilmu yang merangkumi al-Hanafiyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan sebahagian al-Syafi’ieyyah.

Dari ‘Aisyah R.Anha yang mana meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika menyembelih menyebutkan:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad.

Umum mengetahui bahawa dikalangan umat Muhammad SAW itu ada yang telah meninggal dunia dan Baginda SAW menjadikan sembelihannya itu untuk umatnya dan ini menjadi dalil bagi keharusan untuk melakukan korban bagi orang yang telah meninggal dunia.

2) Makruh hukumnya melakukan korban buat si mati. Ini adalah pendapat al-Malikiyyah.

3) Tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ianya telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya. Ini adalah pendapat al-Syafi’ieyyah.

Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili yang mana menyebutkan: “(dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya”.

[Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 2/490]

Wallahu a'lam

[sumber: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-haji-korban/1069-irsyad-al-fatwa-haji-korban-siri-6-hukum-melakukan-korban-buat-si-mati ]